Rambut merupakan aset penting bagi seorang wanita. Setiap wanita juga mengimpikan rambut yang kekal cantik dan menawan. Terutama bagi wanita yang bertudung, mereka juga ingin rambut mereka kekal cantik dan selesa apabila bertudung.
Elak Rambut Berbau
Masalah utama yang dihadapi oleh wanita bertudung adalah rambut berbau. Cuaca panas di Malaysia juga menjadi penyumbang utama kepada masalah ini. Pencemaran dan peluh juga menjadi masalah utama berlakunya masalah rambut berbau. Siapa yang nak rambut mereka berbau kan?
Walaubagaimanapun, anda tak perlu risau. Disini kami senaraikan tip yang anda boleh gunakan untuk mengatasi masalah rambut berbau.
1. Cuci Rambut
Cuci rambut anda selang sehari sekali terutama bagi wanita yang bertudung. Ini untuk membuang kotoran seperti debu dan peluh yang terdapat pada kulit kepala. Kulit kepala yang sihat asas kepada rambut yang sihat. Ingin diingatkan juga, cuci anak tudung dan tudung selepas memakainya. Jangan berulang kali penggunaannya tanpa cucian.
2. Shampoo
Pastikan anda menggunakan shampoo yang bersesuaian dengan kulit kepala dan rambut anda. Penggunaan shampoo yang salah boleh mendatangkan kesan dan infeksi seperti gatal dan kepedihan kepada kulit kepala. Digalakkan untuk menggunakan shampoo yang mengandungi bahan semulajadi seperti estrak lidah buaya, lemon atau tomato.
3. Air
Cuci dan bersihkan rambut anda dengan menggunakan air sejuk. Elakkan penggunaan air suam atau panas untuk cucian rambut kerana ia menyebabkan rambut menjadi kasar dan kering. Rambut kering juga adalah disebabkan oleh penggunaan shampoo yang mengandungi bahan kimia seperti Silikon, SLS dan SLES.
4. Rambut Basah
Bagi wanita bertudung, elakkan pemakaian tudung ketika rambut anda sedang basah dan lembap. Rambut yang basah akan menjadi punca utama terjadinya bakteria penyebab bau tidak menyenangkan pada rambut apabila anda berpeluh. Sebaiknya pastikan rambut anda betul-betul kering secara semula jadi dan jangan menggunakan pengering rambut sebelum pemakaian tudung.
5. Pemakanan
Jaga pemakanan anda, elakkan memakan makanan yang mengandungi kadar kafein yang tinggi dan juga terlalu pedas. Makanan jenis ini menyebabkan suhu badan anda meningkat dan mengeluarkan peluh di kepala. Banyakkan meminum air masak atau air suam sebagai penganti nutrisi untuk kepala bagi mengelakkan kulit kepala berpeluh dan rambut berbau.
6. Gunting / Trim
Gunting hujung rambut minimum sebulan sekali untuk mengelakkan rambut bercabang disamping merawat lapisan rambut. Selain itu, trim rambut juga membantu mengurangkan kerosakkan rambut akibat kepanasan, peluh dan bakteria.
Itu adalah di antara tip yang boleh anda cuba untuk mengatasi masalah rambut berbau. Setiap orang mempunyai masalah rambut yang berbeza. Jadi, penyelesaian kepada masalah tersebut juga adalah berbeza. Bagi yang mempunyai masalah rambut yang kronik, dinasihatkan untuk berjumpa dengan yang pakar.
Jumpa lagi..